Inhalan
DEFINISI INHALAN
Ramai di kalangan kita terutamanya ibubapa sering bimbang
mengenai penyalahgunaan dadah seperti ecstasy, ganja, ‘syabu’ dan lain-lain di
kalangan anak-anak kita terutamanya yang berusia remaja. Akan tetapi kita
biasanya terlupa malah tidak menyedari, atau mengabaikan kemungkinan terdapat
penyalahgunaan produk-produk yang biasa digunakan di rumah dengan cara menghidu
atau menyedut wapnya. Produk-produk ini kebiasaannya dianggap sebagai tidak
merbahaya akan tetapi sebenarnya produk-produk ini mengandungi bahan pelarut
organik beracun, yang apabila dihidu atau disedut wapnya akan menyebabkan
ketagihan, atau berpotensi mengakibatkan kematian secara tiba-tiba.
Kegiatan menghidu bahan-bahan ini, kebanyakannya gam, sering
melibatkan golongan remaja termasuk kanak-kanak berusia antara 10 hingga 18
tahun, demikian menurut pihak polis yang telah dapat mengesan kegiatan ini di
Perak. Pada pertengahan tahun 2001, masyarakat Malaysia dikejutkan pula dengan
berita kematian beberapa orang pelatih Pusat Serenti Sungai Ruan, Raub, Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan Pahang, penyakit yang
menyerang pelatih tersebut berpunca daripada perbuatan mereka menghidu bahan
kimia seperti gam, “thinner” dan petrol secara berterusan untuk menghilangkan
ketagih.
Apakah inhalan?
Inhalan dikenali juga sebagai bahan hiduan atau sedutan
adalah bahan mudah meruap (volatile) yang dihidu atau disedut untuk menimbulkan
kesan psikoaktif atau merangsangkan perubahan minda. Umumnya, inhalan boleh
dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu:
1. Pelarut Mudah Meruap
Merupakan cecair yang akan meruap pada suhu bilik. Pelarut
ini didapati dalam kebanyakan produk-produk yang biasa digunakan di rumah atau
untuk tujuan penggunaan perubatan dan industri. Produk-produk tersebut
termasuklah cat dan penipis/pelarut cat, bahan pelindung fabrik, penanggal
gris, bahan pengilat, minyak gas, minyak petrol, gam dan pelekat, cecair
pemadam dan dakwat pen.
2. Bahan gas
Merupakan bahan yang banyak digunakan dalam perubatan
seperti eter, klorofom, haloten dan nitrous oksida. Produk kegunaan di rumah
yang mengandungi gas termasuklah pemetik api yang berisikan gas butana, tong
gas propana dan gas peti sejuk iaitu freon. Penyembur aerosol pula biasanya
mengandungi kedua-dua bahan pelarut dan gas. Antara penyembur aerosol yang
mudah didapati di rumah adalah cat penyembur, semburan pewangi, penyembur
rambut dan penyembur pelindung fabrik.
3. Bahan Nitrit
Merupan sejenis bahan sedutan yang sering digunakan sebagai
pemangkin seks dan mudah diperolehi di kelab-kelab malam. Antara bahan nitrit
yang biasa digunakan adalah sikloheksil nitrit, amil nitrit dan butil nitrit
yang terdapat dalam sebahagian jenama penyegar udara. Nama lain yang biasa
dikenali oleh penagih ialah Climax, Rush, Locker Room dan Popper. Inhalan
berbentuk bahan mudah meruap dan bahan gas lebih digemari oleh golongan awal
remaja, walau pun terdapat juga golongan dewasa yang menggunakannya. Orang
dewasa biasanya terdedah kepada bahan sedutan melalui pekerjaan mereka,
manakala golongan remaja yang lebih berumur biasanya memperolehi dan terdedah
kepada bahan nitrit di kelab-kelab malam.
KESAN PENGGUNAAN
Kebanyakan inhalan bentuk pelarut dan gas akan menyebabkan
penagih berasa khayal. Kesannya seakan sama dengan mabuk akibat meminum alkohol
yang banyak. Perasaan khayal ini biasanya berlaku selama 15 hingga 45 minit dan
akan berterusan sehingga satu hingga dua jam. Sekiranya kuantiti atau kepekatan
inhalan itu tinggi, penagih mungkin hilang deria rasa, dan seterusnya tidak
sedarkan diri.
Sekiranya wap inhalan disedut dengan kuat dan dalam, atau
digunakan dengan banyak dalam tempoh yang singkat, seseorang itu akan hilang
kawalan diri, berkelakuan agresif, tidak sedarkan diri, atau mati. Seiringan
itu, penagih juga akan berasa loya dan muntah. Jika muntah terjadi ketika
pengsan, kematian boleh berlaku akibat tersedak dan kesesakan nafas.
Seandainya inhalan yang dihidu berkepekatan tinggi,
kegagalan jantung dan kematian mengejut boleh terjadi. Hiduan boleh membunuh
walau pun kali pertama atau pun hiduan seterusnya. Inhalan yang pekat
menyebabkan kesesakan nafas akibat kekurangan oksigen. Selain itu, penekanan
sistem saraf pusat yang serius boleh melambatkan dan seterusnya menghentikan
proses pernafasan.
Seperti penagih benda-benda lain, inhalan boleh
mengakibatkan pergantungan fizikal dan psikologi kepada penagih jika digunakan
untuk beberapa hari atau lebih. Penagihan yang berterusan dalam jangkamasa
panjang boleh mengakibatkan kerosakan sel-sel otak yang kekal. Penagih akan
hilang daya tumpuan, mudah marah, hilang ingatan, mengalami kekeliruan serta
kemurungan. Selain itu, selera makan serta berat badan penagih turut merosot.
Penagih juga akan mengalami keletihan serta kawalan pergerakan badan akan turut
terjejas.
Sebahagian inhalan juga boleh merosakkan organ-organ utama
badan seperti paru-paru, hati, buah pinggang, darah dan sum-sum tulang. Bahan
nitrit yang disedut bertindak membesarkan salur darah, meningkatkan kadar
degupan jantung dan menghasilkan keseronokan yang mampu bertahan selama
beberapa minit sahaja. Kesan-kesan lain adalah rasa panas, pening dan sakit
kepala. Bahan nitrit dipercayai berupaya menambahkan keseronokan dan keupayaan
seksual.
Bahaya bahan-bahan kimia yang terdapat dalam kebanyakan inhalan
Didapati dalam
Amil nitrit, Butil nitrit
Poppers, Climax, Rush
Benzene
Minyak petrol
Butane, Propane
Cecair pemetik api, semburan cat dan rambut
Metilena klorida
Penanggal/penipis cat,penyahgris
Nitrous oksida,
Krim ‘whipping’, tangki gas
Toluin
Minyak petrol,gam,penanggal/penipis cat, cecair pemadam
Trikloroetilena
Penanggal kotoran, penyahgris, cecair pemadam
Heksana
Gam, Minyak petrol
Kematian mengejut kerana dihidu, ketahanan badan berkurang,
kerosakan sel darah merah.
Kerosakan sum-sum tulang, ketahanan badan berkurang, risiko
penyakit leukemia bertambah, kerosakan sistem pembiakan, kematian mengejut
melalui kesan ke atas jantung, kesan terbakjar yang teruk.
Mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen,
perubahan otot dan denyutan jantung.
Kematian akibat kurang oksigen di otak, pengsan, fungsi
jantung terjejas.
Kerosakan otak (hilang kewarasan fikiran dan keseimbangan
badan, hilang penglihatan dan pendengaran), hati dan buah pinggang.
Kemamatian mengejut akibat dihidu, sirosis hati, kerosakan
pendengaran dan penglihatan, komplikasi sistem pembiakan, kekejangan anggota
badan, kebas.
LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN
Menghidu atau menyedut inhalan BOLEH MEMBUNUH walau hanya
dengan sekali sedutan atau hiduan sahaja. Oleh itu ibu bapa, guru-guru dan
rakan-rakan yang merupakan pendamping utama remaja perlulah melakukan sesuatu
agar masalah ini dapat dicegah seawal mungkin. Antara yang dapat dilakukan
adalah:
Sentiasa sedar, waspada serta mengambil tahu tentang masalah
ini dengan cara mendapatkan maklumat lanjut tentang penagihan bahan sedutan,
jenis bahan yang sering disalahgunakan, dan cara-cara untuk mengesan masalah
ini sekiranya terjadi di kalangan anak-anak, anak murid atau rakan-rakan anda
Pastikan anak-anak, anak murid atau rakan-rakan anda
mengetahui tentang bahaya-bahaya merokok, minum arak, penyalahgunaan dadah serta
inhalan.
Elakkan membeli produk-produk yang mudah disalahgunakan
seperti bahan pelarut dan produk-produk berasaskan bahan pelarut, gas, minyak
petrol dan aerosol. Usahakan untuk mendapatkan produk-produk alternatif yang
berasaskan air sekiranya ada.
Sentiasa awasi mengenai kuantiti produk yang telah
digunakan, sekiranya kuantiti yang digunakan agak banyak, soal dan lakukan
penyiasatan lanjut
Sekiranya anda mensyaki sebarang perubahan tingkah laku anak
atau rakan anda, tanya dan cakap dengan mereka mengenai perkara yang
membimbangkan anda. Jangan tangguhkan untuk berdepan dengan mereka.
Elakkan sikap ‘tidak apa’- Ingatlah bahawa satu sedutan atau
hiduan mungkin akan membunuh orang tersayang.
No comments:
Post a Comment